KERAJAAN ISYTIHAR PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai lusa hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata perintah kawalan itu dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan itu meliputi enam perkara dari larangan pergerakan menyeluruh di seluruh negara, sekatan perjalanan ke luar negara, sekatan kemasukan pelancong, penutupan sekolah, penutupan institusi pengajian tinggi dan penutupan premis kerajaan dan swasta, kecuali sektor penting

“Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

“Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020,” kata Perdana Menteri dalam perutusan khas mengenai COVID-19 yang disiar secara langsung di semua stesen televisyen jam 10 malam tadi.

Muhyiddin berkata langkah kedua membabitkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

“Bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata perintah kawalan pergerakan itu turut membabitkan langkah keempat, iaitu penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta, termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata perintah kawalan pergerakan itu turut membabitkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian.

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari bagi memantau situasi wabak COVID-19.

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 negara dengan 162,711 orang disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini sebanyak 553 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pulih. — AlHijrah Online

Leave a Reply