SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 kepada keluarga yang terjejas akibat tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan bagi sumbangan kewangan tersebut akan diselaraskan serta diagihkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Masalah ini sangat besar kalau bencana dari segi kebakaran dalam sejarah negara kita. Sebab itu saya turun sendiri untuk beri semangat dan dorongan dan untuk bincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) mengenai langkah-langkah yang harus diambil.
“Tetapi kita tahu ini bukan penyelesaian, ini hanya beberapa langkah sementara dan saya mahu sumbangan itu disampaikan segera. Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan (bantuan),” kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.
Anwar ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini, dan melawat lokasi kejadian kebakaran.
Turut serta, Hajiji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.–BERNAMA