KERANI DITEMUI MENINGGAL DUNIA SELEPAS DIROGOL

NIBONG TEBAL: Seorang kerani wanita ditemui meninggal dunia selepas dipercayai dirogol dan diliwat sebelum mayatnya disembunyikan di bawah katil di rumahnya, dalam keadaan tidak berbaju.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Lee Chong Chern berkata, suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa yang berusia 40 tahun melalui tingkap di bahagian belakang di rumahnya, di Taman Seruling Emas, di sini.
Katanya, kejadian tersebut disedari rakan mangsa yang datang ke rumah mangsa untuk bertemu dengannya pada jam 3 petang semalam.
“Saksi sebelum itu melihat seorang lelaki bermotosikal keluar dari rumah mangsa sebelum dia menghubungi kakak mangsa.
“Jiran mangsa turut mendakwa melihat seorang lelaki keluar dari rumah itu dengan menunggang motosikal jenis SYM kira-kira jam 4.30 petang semalam,” katanya.
Pemeriksaan polis kemudiannya mendapati rumah mangsa dalam keadaan berselerak dan mayat wanita itu ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah.
Hasil maklumat beberapa saksi, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Changkat Sungai Jawi.
“Berdasarkan siasatan, suspek memberitahu dia melihat mangsa sedang tidur di atas katil sebelum bertindak merogol dan meliwat mangsa.
“Mangsa menjerit dan melawan sebelum suspek menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan.
“Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan sudah tidak bernyawa bertindak menyembunyikan mangsa di bawah katil,” katanya.
Suspek didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan air kencing dan mempunyai lima rekod jenayah dan dadah.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut masih dijalankan.—AlHijrah Online