
GEORGE TOWN: Projek kereta kabel Bukit Bendera kini mencapai kemajuan 32 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2027, sebelum mula beroperasi pada suku terakhir tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi pemasangan menara ketiga projek berkenaan ketika lawatan pemantauan dari kawasan Kebun Bunga hingga ke puncak Bukit Bendera, hari ini.
“Perkembangan itu menunjukkan projek kereta kabel Bukit Bendera kini memasuki fasa lebih menarik selepas kesemua kerja-kerja bawah tanah disempurnakan.
” Kemajuan projek pada keseluruhan pada ketika ini telah mencapai 32 peratus dan mengikut pasukan projek, ia dijangka siap segala kerja-kerja fizikal menjelang Ogos 2027 dan pengoperasian dijangka pada suku terakhir tahun hadapan,” katanya selepas melakukan lawatan pemantauan projek kereta kabel Bukit Bendera, di sini hari ini.
Beliau berkata kerja pada peringkat awal berdepan kekangan, terutama pembinaan struktur bawah tanah yang memerlukan penelitian serta pematuhan syarat teknikal yang ketat.
Chow berkata projek yang mula dilaksanakan di tapak pada Januari 2025 itu merupakan antara projek yang dinanti-nantikan rakyat Pulau Pinang, namun berdepan cabaran pada peringkat awal khususnya kerja bawah tanah.
Keadaan geologi dan syarat teknikal yang ketat di kawasan Bukit Bendera menyebabkan kerja bawah tanah perlu dilakukan secara manual tanpa penggunaan jentera.
“Kita faham pada tempoh permulaan, kerja-kerja bawah tanah menghadapi kekangan, tetapi syukur pada hari ini kita saksikan kesemua kerja-kerja bawah tanah sudah disempurnakan dan ketika ini kerja-kerja di tapak sudah memasuki fasa pembinaan atas muka bumi.
“Di Bukit Bendera pun amat mencabar sebab syarat teknikal yang ketat, mereka tidak dibenarkan menggunakan jentera untuk menjalankan kerja-kerja bawah tanah dan mereka perlu amat sabar melakukan kerja-kerja ini secara manual,” katanya.
Projek bernilai lebih RM200 juta itu dibangunkan sebagai alternatif kepada sistem rel sedia ada dan direka untuk membawa sehingga 1,400 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan perjalanan dari Taman Botani ke puncak Bukit Bendera mengambil masa 10 minit pada ketinggian 700 meter dari paras laut.
Laluan sepanjang 2.73 kilometer itu melibatkan tiga stesen utama iaitu Garden Station di kaki bukit, Turn Station di pertengahan dan Hill Station di puncak, selain kemudahan tempat letak kereta bertingkat, plaza komersial di hadapan Jabatan Taman Botani serta kawasan khas parkir bas. — AlHijrah Online.