Connect with us

ALHIJRAH NEWS

CEDERAKAN ANGGOTA POLIS GUNA PARANG, PENGEDAR DADAH DITAHAN

DALAM NEGARA

CEDERAKAN ANGGOTA POLIS GUNA PARANG, PENGEDAR DADAH DITAHAN

Siasatan awal mendapati suspek merupakan individu dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif mengedar dadah.

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang disyaki aktif mengedar dadah ditahan selepas bertindak agresif mengacu parang ke arah anggota polis hingga mencederakan seorang daripada mereka dalam serbuan di Kampung Lubok Bongor.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli Supt Kamarulzaman Harun, kejadian kira-kira 11 pagi itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.

“Suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di pinggang sebelum mengacukannya ke arah anggota polis sambil mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian.

“Ketika anggota cuba menangkapnya, berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarulzaman berkata suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan keadaan dikawal tanpa melibatkan kecederaan lebih serius.

Tambahnya polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter termasuk hulu serta satu plastik lutsinar mengandungi enam pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis yaba.

“Pil berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan individu dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif mengedar dadah di sekitar daerah berkenaan.

“Suspek turut dikehendaki berkaitan satu kejadian pada 19 Ogos lepas apabila dipercayai mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian sambil mengacukan parang ketika satu serbuan dijalankan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kamarulzaman berkata suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

— AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading