
KUALA LUMPUR: Hubungan erat Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh menerusi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Saifuddin Nasution menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan lawatan rasminya ke Islamabad, kerjasama itu disentuh dalam perbincangan dua hala bersama-sama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan Syed Mohsin Raza Naqvi.
Beliau berkata antara perkara dibincangkan ialah kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim.
“Lawatan ini bukan sekadar mempererat hubungan sedia ada antara Malaysia dengan Pakistan, tetapi juga menjadi ruang untuk kita memperluas kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan, selaras dengan cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan memerlukan kerjasama lebih erat antara negara.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas,” katanya.
Saifuddin berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan setiap bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, di samping berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja.
— AlHijrah Online.