
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) di reman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Perintah reman bermula hari ini hingga Khamis depan, 27 Ogos, terhadap individu berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Bekas CEO itu tiba di mahkamah pada 9.35 pagi dengan memakai baju reman SPRM berwarna jingga bagi prosiding berkenaan.
Terdahulu, SPRM menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI terdiri daripada seorang bekas CEO syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan audit forensik dijalankan bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan terdahulu di buat sehingga menyebabkan TH berdepan penurunan nilai aset yang teruk.
RCI yang menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan berkenaan turut mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Pada 30 Julai lepas, SPRM memaklumkan penubuhan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti laporan RCI itu, termasuk sebarang isu perundangan berkaitan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 atau kesalahan berkaitan.
Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.
— AlHijrah Online