KHUTBAH JUMAAT DISARAN BERTEMAKAN ‘SOLIDARITI BERSAMA UMAT ISLAM PALESTIN’

Gambar hiasan – Bernama

KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau Jumaat di seluruh negara disaran untuk membacakan Khutbah Jumaat bertemakan “Solidariti Bersama Umat Islam Palestin”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau telah mengarahkan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk melakukan perkara itu dan berharap negeri-negeri lain turut melaksanakannya.

“Sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Gaza, Palestin, masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah diarah untuk membacakan Teks Khutbah Jumaat bertemakan “Solidariti Bersama Umat Islam Palestin”.

“Masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diminta untuk melaksanakan perkara yang sama.

“Selain itu, Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas Solat Jumaat di masjid-masjid utama JAKIM termasuk seluruh masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

“Pihak Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri adalah disyorkan turut membacakan Teks Khutbah Jumaat bertemakan isu Palestin dan melaksanakan Solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah di masjid dan surau Jumaat negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang membuat serangan ke atas Gaza, Palestin sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan awam termasuk kanak-kanak. — AlHijrah Online