‘ISRAEL PUTUSKAN BEKALAN ELEKTRIK DI GAZA, DISYAKI MAHU LAKUKAN PEMBUNUHAN DALAM DIAM’ – WARTAWAN

KUALA LUMPUR: “Telefon dan komputer riba saya telah mati. Tiada elektrik selepas Israel memotong bekalan elektrik dan bahan api ke Gaza. Inilah yang dimahukan Israel, melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat yang diam.”
Itu luahan Maha Hussaini, wartawan dan aktivis Gaza yang melaporkan keadaan terkini dari medan perang di media sosial.
Katanya, Israel telah mengebom pintu masuk dan sekitar sempadan Rafah, yang dikawal oleh Mesir di selatan Gaza.
“Dengan melakukan ini, Israel telah memerangkap sepenuhnya 2 juta penduduk di Gaza, memotong bekalan makanan, elektrik dan bahan api, dan sedang mengebom mereka,” katanya dalam hantaran di platform X.
Menurut sumber lain di media sosial, beberapa wartawan di Gaza mungkin mengumumkan hari ini bahawa mereka akan berhenti membuat liputan kerana ketidakupayaan untuk meneruskan laporan dari lapangan.
“Ramai daripada mereka terbunuh di jalanan ketika bekerja. Tiada elektrik, tiada air dan tiada internet.
“Ada yang takut untuk untuk keluar bertugas dan meninggalkan keluarga mereka di bawah pengeboman dan hanya mahu mati bersama mereka.” menurut ciapan di platform X.
Menurut pihak berkuasa Tenaga Palestin, satu-satunya stesen janakuasa elektrik di Gaza telah dihentikan sepenuhnya kerana kehabisan bahan api.
Keadaan ini mencetus kebimbangan berlakunya satu lagi malapetaka kemanusiaan di mana rakyat Gaza termasuk pesakit di hospital terputus bekalan elektrik.
Ia turut menyukarkan usaha merawat mangsa terutama yang kritikal. –AlHijrah Online