TINDAKAN ISRAEL BIADAP DAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, DUNIA PERLU DESAK SERANGAN DIHENTIKAN

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang membuat serangan ke atas Gaza, Palestin sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan awam termasuk kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan Israel adalah biadap serta amat tidak bertanggungjawab.
“Kami menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan tersebut dihentikan.
“Sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Gaza, Palestin, masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah diarah untuk membacakan Teks Khutbah Jumaat bertemakan “Solidariti Bersama Umat Islam Palestin”.
“Masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diminta untuk melaksanakan perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas Solat Jumaat di masjid-masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk seluruh masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.
Pihak Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri turut disyorkan membacakan Teks Khutbah Jumaat bertemakan isu Palestin dan melaksanakan Solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah di masjid dan surau Jumaat negeri masing-masing.
“Sebagai tanda kebersamaan dan kesatuan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan JAKIM untuk melancarkan kutipan khas untuk membantu umat Islam di Palestin,” katanya.
Mohd Na’im turut menggesa umat Islam mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin. — AlHijrah Online