KKM KOMPAUN, ARAH TUTUP PREMIS TULAR TIKUS MAKAN AYAM GORENG

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun dan arahan penutupan ke atas sebuah premis makanan di Pandah Indah, di sini, selepas tular video memaparkan seekor tikus menjamah ayam goreng di tempat letak makanan.

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) berhubung video tular tersebut.

Katanya, pasukan penguatkuasa kesihatan BKKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat pada 24 Disember 2022.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya KKM memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

Orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan juga diseru untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

“Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana- mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan http://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply