KANAK-KANAK EMPAT TAHUN MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI DIDERA

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini petang semalam, dipercayai didera.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke hospital itu sejak 23 Dis selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kepada kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, pada 6.45 petang hari yang sama.

“Mangsa meninggal dunia pada 6.40 petang semalam setelah menjalani rawatan sejak 23 Dis.

“Proses bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan akan dibuat pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya berusia 19 tahun setelah kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah, dan kemudian diserah kepada rakan kakaknya untuk dijaga.

Beliau berkata sehari selepas kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, dua lelaki dan tiga wanita telah ditahan termasuk kakak mangsa dan suaminya untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis antara pukul 12 tengah hari hingga 9.45 malam,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut merampas barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa, antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

Beliau berkata kesemua individu terbabit direman selama tujuh hari bermula Ahad (25 Dis) hingga Sabtu (31 Dis).

Kes berkenaan yang sebelum itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa.–AlHijrah Online

Leave a Reply