KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 semalam dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di kawasan parkir pesawat.
Ketua Polis Daerah KLIA Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ravi Munusamy berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira pukul 7 pagi Khamis daripada Pusat Kawalan Operasi Lapangan (AOCC).
“Pemeriksaan mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan awal turut mendapati keadaan mayat telah mereput, dengan anggaran umur mangsa antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dilaporkan memakai hoodie berwarna putih dengan gambar naga di bahagian belakang berserta tulisan di bahagian hadapan, selain seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.
Polis turut memaklumkan tiada sebarang kecederaan dikesan pada tubuh mangsa sebelum mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Kes kini disiasat mengikut prosedur kematian mengejut atau SDR.–AlHijrah Online