
SEPANG: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan mereput di ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi berkata mayat berkenaan ditemukan kira-kira 6.55 pagi oleh pekerja sebaik membuka ruang simpanan tayar sebelah kanan pesawat berkenaan, selepas pesawat itu tiba dari Tokyo, Jepun, kira-kira 6.30 pagi.
Beliau berkata pekerja terbabit terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat berkenaan dan memaklumkannya kepada pusat kawalan operasi lapangan.
“Hasil pemeriksaan badan si mati tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri dan badan si mati dalam keadaan decomposed (mereput),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ravi berkata mayat lelaki itu belum dikenal pasti identitinya dipercayai berusia antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal dan didapati berpakaian putih dengan gambar naga di bahagian belakang serta tulisan ‘oakley’ di bahagian hadapan.
“Si mati memakai seluar jeans warna biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, berstokin dan berkasut sukan berwarna hitam.
“Tiada sebarang kecederaan pada badan si mati. Mayat telah dibawa ke jabatan forensik sebuah hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR), manakala Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan di lokasi.
Tambahnya orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA menerusi talian 03-877 6822. — AlHijrah Online