Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIADA LESEN JUDI BAHARU DILULUSKAN KERAJAAN MADANI – MOF

DALAM NEGARA

TIADA LESEN JUDI BAHARU DILULUSKAN KERAJAAN MADANI – MOF

Penjelasan itu dikeluarkan susulan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung aktiviti perjudian di negeri itu yang dilaporkan media. Kenyataan tersebut mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu untuk menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut.

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit perjudian baharu atau menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut kenyataan MOF hari ini, jumlah lesen dan permit yang masih berkuat kuasa adalah berdasarkan kelulusan sedia ada sejak 1990-an.

Penjelasan itu dikeluarkan susulan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung aktiviti perjudian di negeri itu yang dilaporkan media.

MOF berkata kenyataan berkenaan mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu untuk menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut.

Sebagai langkah kawalan, MOF berkata pihaknya menetapkan syarat ketat kepada pemegang lesen.

MOF turut menjelaskan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.

Menurut MOF, dari segi kekerapan cabutan khas, pentadbiran Pakatan Harapan pada 2020 memutuskan untuk mengurangkannya daripada 22 kali kepada lapan kali setahun.

Bagaimanapun, pentadbiran Persekutuan selepas itu meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.

“Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” menurut MOF.

Pada masa sama, MOF memaklumkan Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Pada 12 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Rhodzariah memutuskan kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang mengikut Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading