
TAWAU: Lebih 1,000 wanita dari seluruh Sabah membanjiri Grand Ballroom, Borneo Royale Hotel Tawau, semalam bagi menjayakan program Wanita Luar Biasa: Inspirasi Mempesona, sebuah program pemerkasaan wanita yang menghimpunkan perkongsian inspirasi, kekuatan rohani dan pengalaman kehidupan.
Program anjuran Pertubuhan Aspirasi Komuniti Sabah (AKSI) itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli pula menyampaikan amanat khas dan ucaptama yang mengangkat peranan wanita sebagai tonggak kekuatan keluarga, masyarakat dan negara.
Dalam ucaptamanya, beliau menekankan bahawa wanita yang luar biasa bukanlah wanita yang tidak pernah diuji, tetapi wanita yang terus memilih untuk bangkit, memperbaiki diri dan melangkah dengan keyakinan kepada Allah SWT.
Beliau turut mengajak para peserta melihat ibadah, khususnya solat, bukan sekadar sebagai kewajipan, tetapi sebagai sumber kekuatan untuk mengurus emosi, menghadapi tekanan dan membina ketahanan diri ketika berdepan cabaran kehidupan.
Program ini turut menampilkan sesi bicara selebriti “Di Sebalik Pesona” bersama personaliti terkenal tanah air, Diana Rafar dan Fara Fauzana, dengan Vanidah Imran sebagai pengacara.
Menerusi perkongsian yang dekat dengan realiti kehidupan, kedua-dua panel berkongsi sisi perjuangan di sebalik kejayaan, termasuk pengalaman berhadapan ujian, tekanan dan proses membina semula kekuatan diri. Sesi tersebut membawa mesej bahawa setiap wanita mempunyai kisah dan perjuangannya sendiri yang wajar dihargai.
Program ini juga menjadi wadah untuk menyatukan wanita daripada pelbagai latar belakang dalam suasana saling menyokong, menginspirasi dan memperkasakan antara satu sama lain.
Penganjuran program ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi perhatian kepada pembangunan insan, kesejahteraan keluarga dan pemerkasaan wanita secara menyeluruh. — AlHijrah Online