
SEREMBAN: Penduduk di Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan gempar apabila longgokan al-Quran ditemui dan dipercayai dibakar berdekatan padang bola taman berkenaan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan serta maklumat mengenai kebakaran kecil di kawasan terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa helaian al-Quran pada bahan yang terbakar.
“Satu sampel kesan helaian al-Quran yang terbakar diambil dan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis,” katanya.
Menurut Bendahari Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Mohd Syafali Izwan Gamal Nasir yang melaporkan kejadian tersebut, pihaknya mengesan kehilangan dua naskhah al-Quran sejak Rabu lalu dan beranggapan ada ahli kariah yang meminjamnya.
“Bagaimanapun pada Sabtu, kami kesan ada longgokan al-Quran dibakar di tepi padang bola. Ada penduduk yang terhidu bau kebakaran.” ulasnya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga mendapat makluman berkenaan kehilangan al-Quran daripada sebuah masjid berdekatan.
Terdahulu, pihak surau menerima maklumat daripada dua kanak-kanak mendakwa ternampak seorang individu masuk ke dalam surau sebelum keluar bersama sebuah beg yang dilitupi kain batik, Rabu lalu. — AlHijrah Online