Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LEBIH 10,000 PENYAKIT BAWAAN AIR DIKESAN DI ENAM NEGERI TERJEJAS BANJIR – DZULKEFLY

DALAM NEGARA

LEBIH 10,000 PENYAKIT BAWAAN AIR DIKESAN DI ENAM NEGERI TERJEJAS BANJIR – DZULKEFLY

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,730 kes dikesan menghidap jangkitan pernafasan akut, jangkitan kulit (3,021), gastroenteritis akut (298), konjunktivitis (190), cacar air (chickenpox) (20) dan penyakit tangan, kaki dan mulut (13).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyantuni kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains MARA Tumpat hari ini.– fotoBERNAMA

TUMPAT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 10,272 penyakit bawaan air di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,730 kes dikesan menghidap jangkitan pernafasan akut, jangkitan kulit (3,021), gastroenteritis akut (298), konjunktivitis (190), cacar air (chickenpox) (20) dan penyakit tangan, kaki dan mulut (13).

Beliau berkata kesemua kes penyakit di PPS adalah sporadik dan stabil.

“Orang ramai perlu peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penularan penyakit berjangkit, kemalangan dan kecederaan.

“Selain itu, mereka juga diminta mendapatkan rawatan segera daripada pasukan perubatan di PPS atau fasiliti perubatan kesihatan yang berhampiran dan jangan biar ia berlarutan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke PPS Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, di sini hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata sebanyak 121 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir, iaitu 77 di Kelantan, Terengganu (30), Kedah (sembilan), masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Pahang serta satu di Perak.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 56 ialah klinik desa, klinik kesihatan (34), klinik pergigian (19), pejabat kesihatan daerah (lima), hospital (enam) dan satu di pintu masuk antarabangsa.

“Sebanyak 87 fasiliti kesihatan beroperasi dan 31 fasiliti kesihatan berpindah perkhidmatan kesihatan ke fasiliti alternatif.

“Hanya terdapat tiga fasiliti tidak beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan. Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya akan terus memantau perkembangan kejadian banjir di negeri-negeri yang terlibat.

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya serta perkhidmatan kesihatan dilaksanakan sebaiknya secara berterusan,” katanya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading