Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LEBIH 242,000 PENDATANG TANPA IZIN PULANG KE NEGARA ASAL SEJAK MEI 2025

DALAM NEGARA

LEBIH 242,000 PENDATANG TANPA IZIN PULANG KE NEGARA ASAL SEJAK MEI 2025

Lebih 200 ribu pendatang tanpa izin dari 112 negara telah pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Repatriasi Migran yang dilaksanakan sejak Mei 2025 hingga Jun tahun ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 242,063 pendatang tanpa izin dari 112 negara telah pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Repatriasi Migran yang dilaksanakan sejak 15 Mei 2025 hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah itu merupakan sebahagian besar daripada 264,191 warga asing yang mendaftar di bawah program berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mempergiat penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin melalui pendekatan proaktif yang merangkumi operasi penguatkuasaan, pemantauan pematuhan, pelaksanaan program repatriasi serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Jun 2026, JIM melaksanakan sebanyak 5,470 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan ke atas 76,608 individu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap kewujudan kawasan tumpuan warga asing, beliau berkata JIM turut memperhebat operasi di lokasi berisiko tinggi termasuk premis yang menggaji pekerja asing, institusi pendidikan, kawasan perniagaan, pasar borong dan kawasan perumahan, dengan 2,528 pemeriksaan dilaksanakan.

Selain itu, JIM menjalankan 470 operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan, selain 71 operasi bersama PBT bagi membanteras penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM merekodkan 378 kes jenayah melibatkan anggota polis pada 2023, meningkat kepada 407 kes pada 2024 dan 463 kes pada 2025.

Beliau berkata sebanyak 12 kes kematian dalam tahanan direkodkan pada 2023, meningkat kepada 13 kes pada 2024 dan 22 kes pada 2025.

“Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima 100 aduan pada 2023, meningkat kepada 338 aduan pada 2024 dan 388 aduan pada 2025.

“Namun statistik itu perlu ditafsir dengan mengambil kira perubahan mekanisme penerimaan aduan susulan penubuhan IPCC pada Julai 2023 yang mengambil alih fungsi berkenaan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.

Mengenai hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, beliau berkata Akta Hasutan 1948 masih relevan sebagai instrumen penguatkuasaan terhadap ucapan berunsur hasutan dan tindakan hanya akan diambil sekiranya terdapat asas yang kukuh.

Beliau berkata ia termasuk ucapan atau tindakan yang mempunyai elemen hasutan, kecenderungan menghasut, isu perkauman, keganasan, mencetuskan permusuhan, menggugat ketenteraman awam atau mengancam keselamatan negara. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading