TANGKAK: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seorang polis trafik yang sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu di lorong kecemasan di kilometer 107.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 2.07 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut telah terlanggar seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan.
“Pegawai polis berkenaan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya kemalangan tersebut mengakibatkan pegawai polis dan penunggang terbabit mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka untuk dirawat.
“Penunggang motosikal merupakan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menunggang motosikal Suzuki DL650XA meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Jasin.
“Kemalangan hanya melibatkan motosikal mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zamil Azwa Amir Azwa 019-3058346 bagi membantu siasatan.–AlHijrah Online