Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan, iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Mohd Fadly Hashim memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya yang mempunyai dua isteri dan 13 orang anak menanggung tanggungjawab besar terhadap keluarga serta masyarakat selaku wakil rakyat.
Mohd Fadly juga memohon supaya pasport antarabangsa anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan Hanafiah mempunyai keluarga yang besar dan sebagai seorang ADUN, beliau perlu sentiasa berada di tanah air, maka tiada ruang untuknya melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Hakim juga memutuskan Hanafiah tidak perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, namun pihak pendakwaan boleh mengemukakan permohonan semula jika tertuduh gagal mematuhi syarat lapor diri.
Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai anggota Exco kerajaan negeri serta Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat bagi mengarahkan kedua-dua anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.–Bernama