LELAKI BERI MINUMAN KERAS PADA BAYI DIREMAN

BALIK PULAU: Seorang lelaki direman polis selama lima hari bermula bagi membantu siasatan berhubung video yang tular memaparkan suspek memberi minuman keras kepada bayinya.

Suspek, 19 tahun, dikenakan perintah reman yang dikeluarkan Majistret Khalijah Mohd Khalid di Mahkamah Majistret Balik Pulau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, polis berjaya menahan suspek tersebut pada 1.30 tengah hari semalam.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang, pada Mac lalu.

“Hasil soal siasat mendapati video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki tersebut baru berusia lima bulan.

“Semakan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan masih dalam tempoh pengawasan pihak polis,” katanya selepas ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Memetik laporan MalaysiaGazette, mangsa berusia sembilan bulan itu berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.–AlHijrah Online

Leave a Reply