POLIS KOMPAUN 15 MAJIKAN, 22 PEKERJA KILANG

Sumber: Ihsan PDRM

SHAH ALAM: Polis Shah Alam mengenakan kompaun ke atas 15 majikan dan 22 pekerja kilang yang berjumlah keseluruhan RM194,000 sepanjang pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, IPD Shah Alam melancarkan Operasi Khas Pematuhan SOP Covid-19 yang telah memeriksa sebanyak 333 buah kilang dan mendapati tiga daripadanya melanggar syarat kapasiti pekerja yang dibenarkan iaitu 60 peratus sahaja manakala lima kilang tidak menyediakan laluan keluar masuk khas untuk pekerja.

“Dalam operasi itu pekerja terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000,” memetik laporan Sinar Harian.

Baharuddin berkata, kilang yang dikenakan kompaun itu mengendalikan pengoperasian pembuatan cat, pengangkutan, penyimpanan barang barang kimia, bahan ganti telefon bimbit, percetakan, kayu, elektronik dan besi.

“Ada juga yang beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain gagal mengikut arahan dalam surat kebenaran,” katanya.

Operasi pematuhan SOP itu digerakkan selepas menerima banyak aduan pengoperasian kilang tanpa pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN). — AlHijrah Online

Leave a Reply