
DAMSYIK: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh manakala 22 lagi cedera selepas sebuah alat letupan buatan sendiri meletup di dalam sebuah kafe di kawasan Al-Hijaz, Damsyik, pada Khamis.
Menurut Kementerian Kesihatan Syria, letupan itu berlaku di dalam premis berkenaan, manakala seorang pegawai perubatan di Hospital Direktorat Kesihatan Damsyik memaklumkan angka korban meningkat dan tiga daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal. Bagaimanapun, maklumat itu belum disahkan oleh pihak kerajaan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa individu di dalam kafe berkenaan mengalami kecederaan dan berlumuran darah.
Gabenor Damsyik, Maher Marwan berkata, pasukan keselamatan sedang menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian sebagai sebahagian daripada siasatan.
Beliau berkata, semua mangsa merupakan orang awam, termasuk empat peguam yang berada di dalam kafe ketika kejadian.
Menurutnya, letupan itu berlaku berhampiran Istana Kehakiman, lokasi perbicaraan membabitkan individu yang dituduh melakukan pembunuhan di bawah bekas rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Rejim Bashar al-Assad digulingkan pada 2024. — AlHijrah Online.