LETUSAN DI WHITE ISLAND: DUA MAYAT MASIH GAGAL DITEMUI

Last Updated on

5

WELLINGTON: Pasukan penyelamat New Zealand kembali ke White Island hari ini namun dua mayat yang dilaporkan masih hilang susulan letusan gunung berapi minggu lalu belum ditemui.

Seramai 47 pengunjung berada di lokasi kejadian ketika letusan berlaku dan angka kematian kini mencecah 17 orang termasuk dua mayat yang belum ditemui itu.

Dipercayai kedua-dua mayat mangsa kini mungkin berada di lautan, para penyelam yang melakukan pencarian di sekitar pulau berkenaan pada Sabtu lalu gagal mengesan satu mayat yang dilihat terapung di kawasan itu beberapa hari lalu.

“Pasukan penyelamat berasa kecewa. Kami amat memahami kekecewaan pihak keluarga yang mahu mayat insan tersayang ditemui,” kata Timbalan Komisioner Polis, Mike Clement apabila pasukan penyelamat darat terdiri daripada lapan anggota polis kembali ke tanah besar.

Menurut Clement terdapat kemungkinan kedua-dua mayat berada di dalam air namun para penyelam berasa yakin tiada mayat berada di kawasan yang diperiksa berhampiran jeti.

Sejumlah 27 mangsa terselamat kini berada di beberapa hospital di New Zealand dan Australia, 20 daripada mereka sedang bertarung nyawa susulan letusan di pulau terpencil yang menempatkan gunung berapi paling aktif di negara itu.

Sementara itu polis secara rasmi mengenal pasti empat mangsa termasuk pemandu pelancong New Zealand, Tipene James Te Rangi Ataahua Maangi, 24, Zoe Ella Hosking, 15, ayah tirinya, Gavin Brian Dallow, 53, dan juga Anthony James Langford, 51, masing-masing warga Australia.

Clement berkata, meskipun pasukan mencari setakat ini gagal menemui mayat yang masih hilang namun pihak polis belum berputus asa.

“Akan tiba masa apabila kita telah melakukan segala yang termampu, apabila kita telah melakukan yang sewajarnya namun ia belum tiba ke saat itu, kami tidak mudah berputus asa,” kata Clement.

Para saintis yang memantau White Island berkata, tiada aktiviti sejak letusan pada Isnin lalu namun risiko tetap ada.

“Ia telah disahkan menerusi pemerhatian udara pagi ini bahawa kawah aktif sedang mengeluarkan gas volkanik pada kadar dan suhu tinggi melebihi 200 darjah Celsius,” kata Geoff Kilgour, saintis dari GNS Science yang memantau aktiviti seismik dan gunung berapi di New Zealand.

Tragedi berkenaan menimbulkan persoalan mengapa pengunjung dibenarkan ke gunung berapi di mana pakar baru-baru ini meningkatkan tahap amaran. — SINAR HARIAN

Leave a Reply