CADANGAN TETAPKAN HARGA PENANDA ARAS UBAT LANGKAH BAIK

Last Updated on

SHAH ALAM: Hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meneliti cadangan berhubung menetapkan penanda aras bagi harga ubat dan bekalan farmasi dilihat sebagai langkah yang baik dan bakal memberikan manfaat kepada orang ramai.

Dekan Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Mohamed Mansor Manan berkata, menerusi penanda aras berkenaan orang ramai dapat mengetahui harga sebenar ubat yang diambil.

Menurutnya, penanda aras ini juga dilihat membantu orang ramai bagi mendapatkan keperluan ubat masing-masing.

“Penanda aras ni memang kena buat supaya kerajaan dapat harga (ubat) yang realistik di mana bukan hanya memberikan manfaat kepada orang kaya sahaja tetapi juga kepada orang miskin.

“Syarikat pengeluar atau pembekal ubat pun tidak boleh main-main bila sudah tetapkan harga standard bagi ubat-ubat ini. Tapi penanda aras ini mestilah bukan macam harga jual ayam, boleh tangkap, cuma pengguna boleh tahu harga yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mansor berkata, kerajaan perlu melakukan kajian khususnya kepada syarikat pengeluar atau pembekal ubat bagi memastikan bekalan ubat adalah yang tulen.

Katanya, kajian berkenaan juga perlu memastikan ubat berkenaan adalah berkualiti dan selamat untuk digunakan menerusi bukti-bukti kajian.

“Dari situ, kerajaan boleh buat penanda aras bagi harga ubat ini tetapi tidaklah sampai ada syarikat pengeluar atau pembekal yang bankrap pula. Kena bincanglah untuk dapatkan penyelesaian yang terbaik.

“Sebabnya ada syarikat yang perlu kos tinggi, bayar gaji pekerja dan sebagainya. Ini kerana ubat-ubat ini orang makan berterusan, jadi bila pihak hospital atau swasta letakkan harga ubat pada harga realistik, pesakit akan rasa keselamatan dirinya terjamin,” katanya. — SINAR HARIAN

Leave a Reply