LIMA SEKELUARGA TERMASUK TIGA KANAK-KANAK NYARIS RENTUNG DALAM KEBAKARAN

JOHOR BAHRU: Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak terselamat dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Bandar Selesa Jaya, Skudai, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 3.37 petang.

Katanya kejadian berlaku semasa ibu bapa kepada tiga kanak-kanak tersebut tiada di rumah di mana bapa mereka keluar bekerja dan ibunya pergi ke kedai membeli barang.

“Setibanya anggota di lokasi, didapati sebuah bilik di tingkat tiga yang berkeluasan 96 kaki persegi musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran.

“Apabila berlaku kebakaran, ibu bapa kanak-kanak yang berusia tiga, enam dan lapan tahun bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifulbahri berkata, lima beranak tersebut berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan tiada yang cedera.

Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian dengan bantuan dua jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada jam 4.56 petang,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply