LONG TIGER SEMBUNYI DI RUMAH ‘PONDAN’, RANCANG LARI KE NEGARA JIRAN

JOHOR BAHRU: Banduan yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Long Tiger, dipercayai dalam perjalanan untuk melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki beretnik Rohingya itu berjaya diberkas polis semalam di Jalan Sungai Ketil, Sungai Petani, Kedah, selepas 13 hari melarikan diri.
Katanya, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, melarikan diri ke Kedah yang turut dibantu dua individu lain.
“Pihak polis membuat dua lagi tangkapan yang merupakan lelaki Melayu di Batu Pahat, Johor yang dipercayai bersekongkol dengan Long Tiger.
“Suspek masing-masing berumur 36 dan 38 tahun, dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Jelas Ayob, kedua-dua suspek itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke Kedah.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Tangkak mengeluarkan perintah reman terhadap Long Tiger bersama tiga individu yang dipercayai bersekongkol dengan suspek, selama empat hari bermula hari ini.
Selasa lalu, polis berjaya menahan Long Tiger di sebuah rumah ‘pondan’ di Jalan Kuala Ketil, Kedah yang didapati sedang menyembunyikan diri.
Dalam serbuan yang sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang turut berada di dalam rumah itu.
Katanya, Long Tiger bersama lelaki tersebut bersama dua lelaki yang membantunya memotong gari dan membeli kad sim dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.—AlHijrah Online