BAYI PEREMPUAN BERTALI PUSAT DITEMUI DI WAKAF TEPI JALAN

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di sebuah wakaf di tepi jalan raya di Kampung Tayor, Sungai Tong, di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu DSPR Afandi Hussin berkata, bayi itu ditemui oleh dua orang pemuda yang sedang memberhentikan kereta untuk menyejukkan enjin kenderaan di tepi jalan, kira-kira jam 12.45 tengah malam.

“Saksi telah terdengar suara tangisan yang pada awalnya disangka suara kucing namun setelah dilihat secara dekat ia adalah bayi.

“Namun mereka terus melarikan diri kerana ketakutan dan menyangkakan diganggu makhlus halus,” katanya.

Afandi berkata, bagaimanapun dua pemuda tersebut kembali semula ke lokasi kejadian pada jam 6 pagi Selasa, dan mendapati bayi itu masih berada di situ.

Bayi yang hanya beralaskan kain tudung itu ditemukan di lokasi lebih kurang satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk.

Ketika ditemui bayi itu dalam keadaan kesejukan, mempunyai kesan darah dan masih bertali pusat.

Katanya, pemuda tersebut membawa pulang bayi berkenaan ke rumah anggota keluarga rakan mereka sebelum melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Bayi seberat tiga kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemukan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bayi tersebut telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan susulan dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply