MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN TAHAN REMAN PENGASAS SUGARBOOK

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan polis menahan reman pengasas aplikasi ’Sugarbook’ bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam yang mewakili suspek, Foong Cheng Leong berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki tempatan berusia 43 tahun yang berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada jam 4.30 Rabu petang di sebuah kondominium di ibu negara.

“Siasatan mendapati suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi ‘Sugarbook’,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Fadzil berkata, sehingga kini pihaknya menerima 74 laporan polis di seluruh negara berhubung kes tersebut.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi berkenaan yang menyediakan platform mencari temu janji itu.

Susulan aduan orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke laman tersebut yang turut mendakwa semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti, menawarkan diri menjadi sugar baby menerusi laman berkenaan.—AlHijrah Online

Leave a Reply