MAHASISWA HADAPI KEKANGAN WANG, SUGAR DADDY TIDAK MENGHALALKAN CARA – MUFTI JOHOR

Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU: Kegiatan mencari ‘sugar daddy’ dalam kalangan mahasiswa serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah perkara tidak wajar berlaku khususnya di Malaysia yang merupakan negara Islam.

Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, ia memperlihatkan kepincangan moral golongan tersebut yang perlu diberi perhatian semua pihak termasuk ibu bapa, pihak universiti, kerajaan dan ‘sugar baby’ itu sendiri.

Tambahnya, ibu bapa perlu sentiasa memantau dan memberi peringatan kepada anak-anak mereka untuk tidak terjebak dalam perkara ini.

Yahya juga memahami pada masa kini mahasiswa berhadapan dengan kekangan kewangan, bagaimanapun kegiatan ‘sugar daddy’ tidak menghalalkan rezeki yang diperoleh dengan cara tersebut.

“Bila sudah terjebak dengan kegiatan ini, ia tidak akan habis di situ sahaja kerana ada kesan buruk yang lebih besar lagi menanti yang melibatkan maruah diri, keluarga serta agama.

“Perkara ini tidak dibenarkan dalam agama Islam, ini juga melibatkan soal kesihatan dan keselamatan mahasiswa,” katanya.

Mengulas lanjut, Yahya turut menasihatkan pihak universiti wajar mengekang aktiviti tersebut dengan mengambil tindakan lebih tegas dalam soal berkaitan moral.

Tindakan tegas bukan bererti membuang mahasiswa tersebut tetapi memberikan kaunseling yang berkesan dengan mencontohi pendekatan Rasulullah SAW, katanya.

Yahya turut berpendapat masalah ini perlu ditangani oleh semua pihak, malah mahasiswa sendiri perlu belajar hidup dengan keadaan bersederhana semasa menuntut ilmu.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat akses ke laman ‘Sugarbook’ dimana semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti, menawarkan diri menjadi ‘sugar baby’ menerusi laman berkenaan.—AlHijrah Online

Leave a Reply