LAPAN REMAJA BASIKAL LAJAK MAUT, JURUJUAL DIARAH BELA DIRI

JOHOR BAHRU: Seorang jurujual wanita diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru akibat memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap Sam Ke Ting, 26 tahun.
Menurut pertuduhan, Ke Ting didakwa memandu kenderaan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, dalam keadaan berbahaya yang menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut berumur 13 hingga 16 tahun.
Bagaimanapun, suspek didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda RM20 ribu, jika sabit kesalahan.
Majistret Zuhaini Zulkafli menetapkan tertuduh diikat jamin RM10 ribu dengan seorang penjamin selain lesen memandu dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi pembelaan tertuduh selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei ini.
Terdahulu, pada 28 Oktober tahun lalu, mahkamah bertindak untuk melepas dan membebaskan suspek berkenaan daripada tuduhan tersebut yang mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.—AlHijrah Online