WANITA SOROK ANAK TIRI DALAM BONET KERETA UNTUK RENTAS DAERAH

SEBERANG JAYA: Cubaan seorang wanita menyembunyikan anak tirinya di dalam bonet kereta gagal apabila ditahan pihak polis semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, tindakan itu berjaya dikesan selepas pihak polis menahan sebuah kereta dinaiki seorang wanita bersama bersama remaja lelaki berusia 14 tahun di SJR berkenaan pada jam 5 petang semalam.

Shafee berkata, wanita berusia 35 tahun itu memandu dari arah Butterworth menuju ke Seberang Jaya bersama seorang remaja lelaki di tempat duduk penumpang hadapan.

Wanita tersebut memaklumkan kepada anggota bertugas mereka berdua mahu ke pasaraya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian.

Bagaimanapun anggota polis mendapati wanita itu melakukan pergerakan merentas daerah tanpa permit dan memintanya berhenti di bahu jalan.

Semasa pemeriksaan lanjut dibuat, anggota polis menemui seorang lelaki sedang bersembunyi di dalam bonet kereta.

Shafee berkata pihaknya percaya tindakan tersebut dilakukan berikutan hanya dua individu sahaja dibenarkan menaiki kenderaan sebuah kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Susulan kesalahan itu, pihak polis memberi kompaun kepada pemandu kerana ingkar SOP PKP serta diarah berpatah balik kerana didapati merentas daerah.

Manakala dua remaja yang masih dibawah umur diberi nasihat agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Kejadian berkenaan tular di media sosial hari ini apabila beberapa keping gambar seorang lelaki sedang berbaring di dalam bonet sebuah kereta tersebar di laman sosial.—AlHijrah Online

Leave a Reply