Majikan patuh gaji minimum

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bersama pelajar baharu di Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (CIAST)

SHAH ALAM – Pelarasan gaji minimum RM1,100 sebulan, yang berkuatkuasa di seluruh negara sejak 1 Januari 2019 dipatuhi majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata majikan menyambut baik dan akur arahan itu.

“Majikan harus bijak mengurus dan merancang kewangan mereka supaya dapat membayar sekurang-kurangnya RM1,100.”

“Sesetengah syarikat telah pun menawarkan lebih dari kadar ditetapkan itu kepada pekerja.”

Tambahnya, belum ada sebarang aduan diterima berkenaan majikan yang tidak mematuhi penetapan gaji itu.

Jabatan Tenaga Kerja bersedia mengambil tindakan segera sekiranya ada aduan seumpama itu dilaporkan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan kerja ke Pusat Latihan dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) sempena hari pendaftaran pelajar baharu di institusi berkenaan dekat Shah Alam.

September lalu, kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu pada kadar RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Kemudian, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi Belanjawan 2019 menetapkan semula kadar itu kepada RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam bertujuan menampung kenaikan kos sara hidup.

Leave a Reply