MANGSA BANJIR DI PPS DIPERUNTUK RM25 SEHARI

Sumber Gambar: AFP

PASIR MAS: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima peruntukkan oleh kerajaan sebanyak RM25 sehari.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, peruntukan tersebut meliputi bekalan makanan berkhasiat tiga kali sehari kepada mangsa yang akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan mangsa banjir dijaga terutama dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Mangsa banjir juga perlu sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang penularan wabak COVID-19,” katanya selepas membuat lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Zailah menasihatkan mangsa banjir agar tidak menyembunyikan status sekiranya positif COVID-19 kerana tindakan itu boleh menyebabkan berlaku penularan dan memberi kesan kepada orang lain.

“Di PPS memang kita sediakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat pemeriksaan kepada mangsa dan turut menyediakan SOP khusus di PPS bagi memastikan keselamatan semua mangsa,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari, jumlah mangsa banjir di Rantau Panjang dekat Pasir Mas yang ditempatkan di PPS SK Tok Deh kekal 33 orang yang melibatkan enam keluarga.—AlHijrah Online

Leave a Reply