Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MASJID PERTAMA DI BUKIT BINTANG BAKAL JADI REALITI

UTAMA

MASJID PERTAMA DI BUKIT BINTANG BAKAL JADI REALITI

Perkembangan itu turut mencuri perhatian orang ramai apabila isu keperluan sebuah masjid di kawasan berkenaan sebelum ini dibangkitkan secara meluas di media sosial yang menggesa agar kemudahan ibadah lebih mudah diakses di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

KUALA LUMPUR: Sebuah masjid yang mampu menampung lebih 1,500 jemaah akan dibangunkan di kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang selepas sebuah bangunan di lokasi berkenaan dipersetujui untuk diwakafkan bagi tujuan ibadah.

Bangunan yang sebelum ini dikenali sebagai Bangunan Yayasan Selangor itu akan diubah suai menjadi masjid melalui kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, pemilik bangunan berbesar hati menyerahkan premis berkenaan sebagai wakaf bagi tujuan keagamaan walaupun ia berpotensi memberikan pulangan komersial yang tinggi jika dikekalkan sebagai aset perniagaan.

“Alhamdulillah, kita telah bersetuju untuk membina masjid di bangunan itu yang boleh memuatkan lebih 1,500 jemaah. Pemilik juga bersetuju untuk mewakafkannya dan MAIWP akan membiayai projek ini,” katanya selepas merasmikan pelaksanaan solat Jumaat pertama di Surau Jumaat Sementara Oasis Outreach Bukit Bintang (OOBB) hari ini.

Tambahnya, masjid tersebut akan menjadi penyelesaian kepada keperluan umat Islam di Bukit Bintang yang selama ini tidak mempunyai fasiliti masjid khusus untuk menunaikan solat Jumaat di kawasan tersebut.

Mengulas pelaksanaan solat Jumaat di Oasis Outreach Bukit Bintang, beliau menjelaskan ia merupakan langkah interim bagi memastikan kemudahan ibadah dapat disediakan segera sementara menunggu pembinaan masjid siap sepenuhnya.

Inisiatif tersebut digerakkan oleh MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan perancangan pembinaan sebuah lagi masjid berskala besar di kawasan berhadapan Menara TRX yang melibatkan keluasan tanah kira-kira 5.6 ekar.

Projek yang dikenali sebagai Masjid Warisan itu disasarkan menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur, selain disesuaikan dengan landskap pembangunan moden di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, kita mahu bangunkan sebuah masjid yang indah, semegah Menara TRX,” katanya.

Ketika ini, Bukit Bintang masih belum mempunyai masjid yang mampu menampung kapasiti jemaah besar, khususnya untuk pelaksanaan solat Jumaat.

Perkembangan itu turut mencuri perhatian orang ramai apabila isu keperluan sebuah masjid di kawasan berkenaan sebelum ini dibangkitkan secara meluas di media sosial yang menggesa agar kemudahan ibadah lebih mudah diakses di kawasan tumpuan pelancong tersebut. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading