
KUALA LUMPUR: Umat Islam di sekitar Bukit Bintang kini boleh menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang mulai hari ini susulan kelulusan khas yang diberikan bagi tujuan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hassan dalam kenyataan di Facebook semalam berkata, kemudahan tersebut diberikan secara sementara sehingga surau Jumaat kekal di lokasi berkenaan siap dibina.
Pelaksanaan solat Jumaat di pusat komuniti itu bakal membuka lembaran baharu kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
“Selepas ini, tak perlu kelam-kabut nak kejar masa atau bersesak pergi jauh demi menunaikan kewajipan, insya-Allah.
“Jom, ajak rakan sekerja Solat Jumaat. Kita rehatkan minda, bersihkan jiwa, dan imarahkan Solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang esok!” katanya.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang berusaha mewujudkan sebuah surau Jumaat yang selesa di Bukit Bintang bagi kemudahan masyarakat Islam menunaikan ibadah di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.
Inisiatif itu dijangka memberi kemudahan lebih baik kepada pekerja, peniaga dan pengunjung Muslim yang berada di sekitar Bukit Bintang, khususnya bagi menunaikan solat Jumaat tanpa perlu bergerak jauh dari lokasi masing-masing. — AlHijra Online