MEDAC DAN JAKIM JALIN KERJASAMA, PACU EKONOMI KOPERASI KARIAH MASJID

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalinkan kerjasama strategik untuk meningkatkan aktiviti ekonomi ummah melalui usahawan dan koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya percaya koperasi kariah masjid mempunyai potensi besar untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi umat Islam di negara ini.

Berdasarkan rekod pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2019, terdapat 446 buah koperasi kariah masjid yang didaftarkan dengan keahlian 30,515 orang anggota koperasi.

“Menurut rekod pada tahun 2019, koperasi kariah masjid telah mencatatkan pendapatan berjumlah RM15.37 juta walaupun mempunyai jumlah keanggotaan yang tinggi iaitu seramai 30,515 orang. Ini menunjukkan gerakan koperasi kariah masjid mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

“Koperasi kariah masjid yang tidak aktif dan dorman perlu dibantu untuk dipulihkan dan diperkenalkan kepada aktiviti perniagaan yang berpotensi bagi memacu keyakinan kariah di samping menyumbang kepada pendapatan,” kata Wan Junaidi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelas Wan Junaidi, usaha memartabatkan ekonomi ummah melalui koperasi kariah masjid ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar koperasi masjid dan surau ditambah lagi untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan ummah.

MEDAC mencadangkan empat jalinan kerjasama yang boleh diterokai bersama JAKIM merangkumi perluasan penubuhan koperasi masjid ke seluruh negara dalam meningkatkan kualiti kehidupan kariah masjid selain menambah nilai komersil ke atas produk usahawan dan koperasi melalui pensijilan halal.

Dua lagi jalinan kerjasama yang dicadang ialah memajukan tanah-tanah waqaf di seluruh negara untuk kemaslahatan ummah dan menambah nilai program usahawan asnaf. — AlHijrah Online

Leave a Reply