MAKSIMUM 10 EKOR HAIWAN UNTUK IBADAH KORBAN DI MASJID DAN SURAU – ISMAIL SABRI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Jumlah haiwan bagi tujuan ibadah korban dihadkan maksimum 10 ekor sahaja bagi masjid, surau, dan lokasi korban yang telah dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi lokasi sembelihan yang kecil, jumlah yang dibenarkan bergantung kepada keluasan kawasan.

“Had ini tertakluk kepada keluasan lokasi. Kalau luas boleh sampai 10 ekor boleh.

“Kalau sempit (contoh) maksima 6 ekor, maka 6 ekorlah yang dibenarkan,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan PKPP di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu kerajaan menggalakkan agar ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (28 buah) dan rumah penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan (31 buah).

Selain itu jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

“Waktu ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama 4 hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha, selepas solat Sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.

“Walaubagaimanapun, mengambil kira Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, ibadah korban digalakkan untuk dilakukan pada hari kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Ismail Sabri berkata jamuan makan di tapak korban adalah tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply