MESIR SETUJU KERJASAMA KURSUS KEHAKIMAN KEPADA PEGAWAI SYARIAH JKSM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bertemu Timbalan Menteri Keadilan Mesir, Umar Al-Ansari.

KUALA LUMPUR: Pusat Pengajian Kehakiman Mesir telah bersetuju untuk menawarkan kerjasama Kursus Kehakiman kepada pegawai syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada bila-bila bermula tahun 2023 atau 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu untuk memperkasa kompetensi serta kepakaran para pegawai syariah khususnya hakim syarie dalam membuat keputusan-keputusan penghakiman dalam kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

“Semalam, saya bersama agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu JKSM telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pusat Pengajian Kehakiman Negara Mesir di Kaherah dan kehadiran delegasi telah disambut oleh Timbalan Menteri Keadilan Mesir, Umar Al-Ansari.

“Kunjungan hormat kepada Pusat Pengajian Kehakiman Negara Mesir kali ini adalah untuk mempelajari sistem pentadbiran keadilan negara Mesir selain bertujuan memohon untuk menyambung kerjasama dalam penyusunan semula program Kursus Kehakiman bersama Pusat Pengajian Kehakiman Negara Mesir.

“Secara prinsipnya, Timbalan Menteri Keadilan Mesir telah memberi komitmen Pusat Pengajian Kehakiman Negara Mesir telah bersetuju untuk menawarkan kerjasama Kursus Kehakiman kepada Pegawai Syariah di JKSM,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Na’im ketika beliau menjawat Ketua Pengarah atau Ketua Hakim Syarie JKSM pada 2022, beliau telah melakukan beberapa usaha untuk menambahbaik sistem pengurusan latihan kepada para pegawai syariah di JKSM antaranya menghantar mereka mengikuti kursus di Pusat Pengajian Kehakiman Negara Mesir.

Katanya JKSM ketika itu telah diberikan peluang oleh Kerajaan Mesir untuk menghantar para pegawai syariah dikalangan hakim syarie untuk menyertai Kursus Kehakiman di Mesir, walaubagaimanapun pada tahun 2022 tersebut, JKSM tidak dapat menghantar pegawai berkursus atas faktor berlakunya wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Ujar Mohd Na’im, pemantapan kepakaran pegawai syariah adalah selaras dengan usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melaksanakan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang antara lain meletakkan Teras Kemuliaan Syariah dan memberikan fokus kepada usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam. — AlHijrah Online

Leave a Reply