MRA LANCAR TABUNG BANTUAN BANJIR PAKISTAN

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Bantuan Banjir Pakistan bagi membantu mangsa bencana alam yang disifatkan salah satu situasi terburuk dalam sejarah Pakistan.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, MRA telah menyalurkan bantuan kecemasan awal berjumlah RM50,000 bagi memulakan operasi bantuan kemanusiaan di sana dan Tabung Bantuan Banjir Pakistan dilancarkan untuk meneruskan misi.

Ujarnya, tumpuan akan diberikan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa iaitu antara kawasan yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan serta beberapa kawasan lain.

“Sebanyak RM1,000,000 disasarkan untuk membantu operasi dan bantuan di Pakistan.

“Fokus utama adalah menyediakan bantuan asas pasca bencana seperti penyediaan air bersih, penyediaan khemah sementara, dan agihan pek makanan asas kepada mangsa banjir di lokasi terjejas yang sukar dicapai di kawasan bencana,” katanya.

Tambahnya, unit perubatan MRA atau lebih dikenali MRA Medic juga akan membuat persiapan awal bagi menghantar petugas perubatan yang akan membantu mangsa di kem pemindahan lebih-lebih lagi bencana banjir dilihat berisiko tinggi bagi kes-kes melibatkan penyakit berjangkit.

“Lebih menyayat hati, kejadian ini telah menenggelamkan satu pertiga wilayah Pakistan dan mengakibatkan lebih 1,100 orang meninggal dunia dan jutaan rakyat Pakistan terkesan dengan ujian ini.

“Perkara ini bakal bertambah buruk apabila ianya dijangka bakal menggugat ekonomi Pakistan yang sudah pun berdepan krisis akibat kadar inflasi tinggi, susutan nilai mata wang dan defisit akaun negara,” katanya.

Sumbangan untuk Tabung Bantuan Banjir Pakistan boleh dibuat menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad (acc no: 5640 9820 8020) atau layari laman rasmi Malaysian Relief Agency http://www.mra.my dan facebook untuk maklumat lebih lanjut. – AlHijrah Online

Leave a Reply