KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing yang ditahan polis kerana menunjukkan isyarat lucah di hadapan pusat beli-belah Lot 10, di sini, mendakwa hanya mahu memberi isyarat ‘peace’.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, tiada motif sebenar berkenaan tindakan suspek yang menunjukkan isyarat lucah.
“Alasan yang diberikan suspek hanya mahu menunjukkan isyarat ‘peace’.
“Semasa penahanan dibuat, suspek juga didapati tidak membawa dokumen perjalanannya,” katanya hari ini.
Semalam, polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai menunjukkan isyarat lucah ke arah anggota polis yang bertugas di hadapan pusat beli-belah Lot 10, di sini pada Rabu.
Suspek bukan warganegara berusia 39 tahun itu direman selama tiga hari bermula semalam.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.—AlHijrah Online