MUFTI PERLU TAMPIL JELASKAN ISU AGAMA, ELAK DIMANIPULASI POLITIK

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mufti di negeri-negeri perlu tampil bagi menjelaskan isu-isu berkaitan agama bagi mengelak sesuatu perkara berkaitan agama Islam dimanipulasi pihak-pihak tertentu termasuk ahli politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peranan mufti sangat penting dalam memperjelaskan sesuatu hukum selain harus ke hadapan sebelum masyarakat menjadi keliru.

“Saya mengajak dan mengesyorkan mufti-mufti negeri memainkan peranan penting untuk ke hadapan, jika timbul persoalan berkenaan hukum, mereka perlu bantu menjelaskan atau memberi pencerahan.

“Bukan sahaja dalam kes tertentu, jika ia melibatkan hukum, mufti-mufti perlu mengeluarkan hukum untuk mengelakkan kecelaruan,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Hi-Tea Semarak Budi Sepetang Berinfaq Bahagia ke Jannah, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang teguran Wan Salim terhadap ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How susulan dakwaan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran seperti tular videonya baru-baru ini.

Menurut laporan, Wan Salim menyifatkan tindakan mentafsir ayat al-Quran sewenang-wenangnya ibarat mempermainkan kalamullah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Tegasnya, pelaku yang bertindak sedemikian juga boleh didakwa di mahkamah kerana kesalahan menghina agama Islam.

Naim mengulas lanjut, dalam isu tersebut, jika dilihat dalam perspektif politik ia akan menjadi bahan kepada orang politik.

Dalam pada itu, Naim melihat perkara tersebut boleh dikira menyentuh isu agama, bangsa dan institusi diraja atau 3R.

Bagaimanapun Naim gembira kerana ada dalam kalangan yang bukan Islam terutama ahli Parlimen mahu merujuk al-Quran dalam hujahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam konteks al-Quran, ia perlu mempunyai disiplin dan mufti-mufti perlu menerangkan serta tidak boleh mengeluarkan pandangan mengikut selera masing-masing.–AlHijrah Online

Leave a Reply