TERBABAS LANGGAR POKOK SAWIT, PEMANDU LORI MAUT DITIMBUS PASIR

KLUANG: Seorang pemandu lori muatan pasir maut selepas lori dipandunya terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 87, Jalan Batu Pahat di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 10.44 pagi.
“Siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang membawa muatan pasir itu dari arah Kahang ke Kluang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok kelapa sawit di situ,” katanya.
Bahrin berkata, pemandu lori berkenaan tersepit dan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Amri Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di Kampung Contoh, Kahang melalui talian MERS999 pada jam 8.58 pagi sebelum mengerahkan anggota dan jentera ke lokasi kejadian.
“Pihak pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori pasir jenis Hino yang dipercayai telah terbabas dan melanggar pokok sawit.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa (pemandu) telah tertimbus oleh muatan yang dibawa,” katanya.
Katanya anggota bertindak menarik keluar lori tersebut dengan bantuan sebuah jengkaut dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sekitar 11.30 pagi,” katanya.—AlHijrah Online