KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki tahun lima dari sebuah sekolah di Dungun, dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan influenza.
Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, 11, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.40 pagi tadi ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.
Ibu mangsa, Normala Mohd Nor, 42, berkata, dia telah membawa anaknya pada tengahari semalam ke sebuah klinik swasta selepas anaknya menunjukkan tanda tidak sihat.
Katanya, doktor telah membuat ujian ‘swab’ dan memaklumkan anaknya dijangkiti influenza sebelum memberi ubat antiviral.
“Malam tadi, dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah selepas keadaanya semakin merosot.
“Lebih kurang sejam pegawai kesihatan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), dia kata takboleh tolong dah.
“Demam dia bukan demam biasa, sebab dia mengalami cirit birit dan saya takut dia kena influenza.
“Pada Ahad lepas, dia pergi sekolah seperti biasa, tiba-tiba semalam dalam masa sehari dia jadi seperti itu,” katanya semasa ditemui Berita AlHijrah, hari ini.
Menurut Normala, jenazah pada awalnya akan dikebumikan pada jam 10 pagi Rabu namun terpaksa ditangguhkan kerana kes berkenaan perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi siasatan lanjut.
Anaknya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk dibedah siasat, dan jenazah Muhammad Amsyar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Muktafi Billah Shah, malam ini.—AlHijrah Online