MYAQSA DEFENDERS KUMPUL RM17.8 JUTA UNTUK PALESTIN

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM17,878,518.37 berjaya dikumpulkan MyAqsa Defenders (MAD) setakat 18 Mei 2021.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MAD hari ini, jumlah itu menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia kepada perjuangan pembebasan isu Palestin dan kepercayaan kepada gabungan tersebut untuk menguruskan amanah dengan telus dan penuh integriti.

“Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam, MAD telah ditubuhkan sebagai satu gabungan anak muda dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan selebriti serta ikon kemanusiaan.

“MAD telah menggerakkan kempen #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak dan telah mengaktifkan pelbagai bentuk kesedaran dan advokasi di seluruh negara bahkan dunia,” kata kenyataan tersebut.

MAD memaklumkan dana berkenaan akan disalurkan secara berperingkat untuk projek Klinik Malaysia- Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitul Maqdis, dan bantuan kecemasan Gaza.

“Untuk maklumat para penderma dan penyokong MAD, kami sangat komited dengan agenda urus tadbir baik, ketelusan, dan akauntabiliti dalam melaksanakan program dan projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.

“MAD mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran antaranya dengan mewujudkan beberapa lapisan pentadbiran bagi menghindari sebarang konflik berkepentingan.

“Selain itu MAD juga mewujudkan jawatankuasa khas melibatkan pihak berkecuali yang terdiri daripada peguam, pegawai tadbir bertauliah, akauntan bertauliah, konsultan sektor pembangunan dan kemanusiaan serta konsultan Anti-Money Laundering, Counter Financing of Terrorism (AML/CFT) bagi memantau dan menasihati pihak pengurusan dan pentadbiran dalam urusan MAD,” jelas kenyataan MAD.

Antara ahli koalisi MAD ialah Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Barisan selebriti serta ikon kemanusiaan MAD pula antaranya Heliza Helmi, Mizz Nina, Noh Salleh, Faizal Tahir, Fedtri Yahya, Dahlia Shazwan, Farah Adeeba, PU Rahmat, PU Amin dan Ustazah Isfadiah. — AlHijrah Online

Leave a Reply