MYVI REMPUH KEDAI RUNCIT AKIBAT ELAK HAIWAN

SEGAMAT: Seorang pemandu dan seorang penumpang terlibat kemalangan selepas Perodua Myvi yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh sebuah kedai runcit di Kilometer 1 Jalan Segamat- Muar di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata kemalangan jam 6.15 petang itu dipercayai berpunca apabila pemandu ingin mengelak haiwan yang melintas.
“Keadaan itu mengakibatkan kereta tersebut melanggar tebing rumput bahu jalan lalu terbabas ke arah sebuah kedai dan melanggar tiang anjung bumbung serta bahagian rak simen di depan kedai.
“Pemandu lelaki berumur 25 tahun dan penumpang wanita berumur 22 tahun itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Muar ke Segamat.
Sementara itu pemilik kedai runcit juga tidak mengalami kecederaan kerana berada di belakang premis dan ketika kejadian tiada pelanggan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59). — AlHijrah Online