ONE UTAMA DAN TROPICANA GOLF & COUNTRY RESORT DIARAH TUTUP

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memaklumkan kompleks membeli-belah One Utama dan Tropicana Golf & Country Resort diarah tutup selepas sembilan individu melibatkan pekerja dan pengunjung di kedua-dua lokasi itu disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Johary Anuar berkata penutupan akan bermula pada 11 Oktober 2020 bagi tujuan membuat saringan untuk semua kontak rapat dan melakukan proses nyahkumah.

“Sehingga kini terdapat empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung di pusat membeli-belah One Utama.

“Sementara di Tropicana Golf & Country Resort lima kes melibatkan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johary berkata pihaknya memohon kerjasama pengunjung atau pekerja di One Utama yang mengunjungi bahagian kosmetik dan wangian, aras G, Parkson Elite antara 30 September 2020 sehingga 7 Oktober 2020 dan Mac City, aras dua antara 25 September 2020 sehingga 30 September 2020 untuk membuat saringan COVID-19.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan saringan kesihatan di One Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang.

“Keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh dinyatakan itu,” katanya.

Pun begitu, individu bergejala sebelum tarikh saringan tersebut diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan segera untuk pemeriksaan dan rawatan. — AlHijrah Online

Leave a Reply