JAIS SERU JEMAAH MASJID LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL AZIZ BUAT SARINGAN COVID-19

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru jemaah yang hadir solat Jumaat pada 2 Oktober 2020 di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang untuk menjalani saringan COVID-19 atau melakukan kuarantin kendiri.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata saranan itu susulan salah seorang jemaah yang hadir mendirikan solat Jumaat pada tarikh tersebut disahkan positif COVID-19.

“Mengikut rekod, bilangan jemaah yang hadir solat fardhu Jumaat pada hari tersebut adalah seramai 1,310 orang jemaah.

“JAIS menyeru kepada para jemaah yang telah hadir solat Fardhu Jumaat pada 2 Oktober 2020 di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang untuk tampil dan segera melakukan saringan di klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya bergejala atau melakukan kawalan kendiri dengan kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Ekoran kes positif berkenaan JAIS umum menangguhkan solat Jumaat, solat fardhu lima waktu dan aktiviti pengimarahan di masjid tersebut bermula waktu Asar, 8 Oktober 2020 sehingga diberitahu kelak.

“Buat masa ini, pihak JAIS hanya membenarkan tiga orang petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk mengumandangkan azan dan melaksanakan solat fardhu,” katanya.

Mohd Shahzihan turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi telah dilaksanakan oleh pihak pentadbir masjid pada 9 Oktober 2020. — AlHijrah Online.

Leave a Reply