ONN HAFIZ ANGKAT SUMPAH MENTERI BESAR JOHOR KE-19

GAMBAR FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

JOHOR BAHRU:  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lepas.

Beliau yang bersongkok, berbaju Melayu Teluk Belanga berwarna hitam serta lengkap bersampin mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu dimuat naik di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim yang turut memaparkan 16 keping gambar upacara berkenaan. 

Pada PRN Johor ke-15, Onn Hafiz, 44, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan  Azlisham  Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.

Onn Hafiz dilantik meskipun sebelum ini BN mencadangkan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti itu memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020. – AlHijrah Online

Leave a Reply